Sabtu, 27 November 2010

BELAJAR MEMBINA BLOG

Minggu ini merupakan minggu yang paling mencabar buat semua rakan pelatih PGSR BM. Bagi memenuhi tugasan untuk subjek Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer, kami dimestikan mengikuti kuliah membina blog sendiri. Setelah menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran, akhirnya tugasan yang pada awalnya terlalu berat dirasakan telah pun berjaya ditempuhi. 'Dunia di Hujung Jari', begitulah pesatnya kemudahan teknologi hari ini. Segalanya hanya terletak di hujung jari dan terpulanglah pada diri masing-masing bagaimana untuk mencoraknya. Apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah dalam usaha untuk membina blog ini, kita tidak perlu terlalu takut atau menggelabah apabila membuat sesuatu yang baru kerana dalam kuliah kali ini kami telah dibekalkan dengan nota Panduan untuk Membina Blog yang sangat membantu. Nasihat daripada para pensyarah agar kami tidak takut untuk mencuba serta meneroka sendiri ruangan 'Blogger' ini akhirnya telah berjaya membawa kami ke laman ini. Dalam usaha untuk menggenggam segulung ijazah, inilah antara pahit maung dan suka duka yang terpaksa diharungi. Pengalaman kali ini terlalu berharga dan sangat banyak perkara baru yang dapat dipelajari dalam subjek ini. Semoga pengalaman ini akan membawa kebaikan terutamanya apabila kembali ke sekolah nanti. Untuk anak-anak didikku, semoga apa yang cikgu peroleh ini akan memberi kebaikan untuk kita bersama dalam usaha untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan